Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Bin Nik Ahmad telah merasmikan Majlis Prime Minister’s Hibiscus Award 2021/2022 yang telah berlangsung di M Resort & Hotel pada 22 Jun 2023, malam ini.
Dalam ucapannya, YB Menteri telah menyatakan penghargaannya terhadap peranan pihak swasta dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dalam industri masing-masing berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang baik.
Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan penglibatan pemain industri dalam program-program konservasi alam sekitar seperti; geran penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau, program latihan kesedaran amalan lestari, dan insentif untuk pihak swasta lebih proaktif mengurangkan kesan buruk perusahaan mereka terhadap alam sekitar.
Penganjuran program-program penghargaan kepada badan-badan swasta yang cakna dengan isu alam sekitar dan agenda perubahan iklim ini dilihat seiring dengan nilai teras Malaysia MADANI; Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam, serta Daya Cipta yang berteraskan pembaharuan dan pengupayaan modal insan.